Kemuliaan Anak Adam dan Lailatul Qadr.


posted by Pioneer of Legacy

2 comments

Assalamualaikum w.b.t.... daripada Pioneer of Legacy kepada rakan-rakan pembaca.
 
   Dalam kesempatan kita menyambut kedatangan Ramadan, saya terasa terpanggil untuk menulis sedikit pengisian yang mudah-mudahan dapat mengingatkan diri saya dan rakan-rakan mengenai perkara-perkara penting yang boleh membantu kita memanfaatkan masa kita terutamanya dalam bulan Ramadan dengan semaksima yang boleh. Tanpa berlengah, saya akan masuk ke topic perbincangan kita. 


Apakah itu Ramadan? Mungkin kepada ramai di antara kita, bulan Ramadan ialah bulan puasa. Maknanya, ia bulan untuk kita berlapar. Mungkin kepada sesetengah yang lain, ia merupakan bulan ekonomi. Bazaar Ramadan, jualan kuih, tempahan baju dan langsir untuk hari raya dan pelbagai peluang pendapatan yang lain. Mungkin juga kepada sebahagian daripada kita, bulan ini merupakan bulan yang tiadanya hantu kerana syaitan-syaitan dibelengu. Mungkin, mungkin dan mungkin. 


Tetapi mungkin juga kepada sebahagian di antara kita, bulan ini merupakan suatu nikmat masa dan kesempatan untuk kita terus mengumpul amalan dalam ketika sisa hayat kian tipis dan ajal maut boleh menjelma tidak kira masa. Benar, dalam bulan ini terdapat tawaran yang berbeza daripada bulan-bulan lain, ‘Mega Sale’ yang terhebat dalam setahun yang tidak mungkin ditandingi oleh apa sahaja tawaran yang boleh manusia tawarkan. Malah, dalam bulan ini juga terdapat satu ‘super limited-time offer’ yang dikenali sebagai Lailatul Qadr. Jadi, di manakah letaknya kita di antara semua golongan ini?


Saya gemar meminjam kata-kata seorang jauh lebih berilmu daripada saya. Beliau bercerita mengenai kehebatan Lailatul Qadr. Mengapakah malam ini begitu hebat sehingga disebut dalam Al-Quran sebagai malam yang lebih baik daripada 1000 bulan? Malah, para Malaikat turun pada malam tersebut. Namun, jika kita mahu mengetahui mengenai perkara paling penting yang menjadikan malam ini sangat istimewa, kita perlu memahami ayat yang pertama. “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar [97:1]” Turunnya mukjizat Al-Quran pada malam ini membuatkannya istimewa. Sesungguhnya kita harus kembali kepada Al-Quran jika mahu menikmati keindahan Lailatul Qadr.



Kita sering mendengar orang ramai yang menilik-nilik bila akan tiba Lailatul Qadr agar boleh beribadah pada malam tersebut. Sayang betapa terpesongnya niat kita memburu Lailatul Qadr. Mungkin sedikit sebanyak, kita terpengaruh dengan pengiraan matematik bahawa jika beramal pada satu malam lebih baik daripada 1000 bulan, maka tidak salah untuk ‘kurang beramal’ selama 11 bulan kerana dalam bulan yang ke-12 (Ramadan) amalan pada Lailatul Qadr boleh menutup segala kelalaian yang sebelum itu. Seharusnya kita mengambil iktibar daripada Surah Al-Qadr di mana malam itu telah dimuliakan dengan kehadiran Al-Quran. Alangkah betapa mulianya anak-anak Adam yang sifat penciptaan yang sebaik-baik ciptaan turut dimuliakan dengan menghadirkan Al-Quran dalam serba-serbi kehidupan.

Ini adalah peringatan untuk kita bersama. Saranan saya adalah agar kita memuliakan Al-Quran dalam hidup kita agar Al-Quran dapat memuliakan kita. Saya menulis karangan ini sambil menonton Musabaqah Al-Quran di TV1, dan pengacara program turut menggalakkan kita memahami Al-Quran dan melazimkan mentadabbur Al-Quran. Anak-anak kecil tidak meragam ketika mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sudah cukup untuk menceritakan kebesaran mukjizat ini. Memang rugi kita sebagai ummat Rasulullah SAW jika tidak menghayati Al-Quran kerana mukjizat inilah yang memuliakan kita untuk beramal dengan amalan yang setanding dengan ummat Nabi Nuh as yang hidup ratusan tahun dalam usia yang jauh lebih singkat. Malah, satu-satunya nabi yang dimakbulkan doa untuk menjadi ummat Nabi Muhammad SAW ialah Nabi Isa as. Mengapa pula kita tidak melahirkan kesyukuran atas apa yang kita nikmati? 

Jadi, bersempena bulan Ramadan yang secara fitrahnya sering Berjaya melembutkan hati ramai di antara kita untuk dekat dengan Al-Quran, dekat dengan masjid dan surau, cuba kita manfaatkannya dengan sepenuhnya. Cuba kita istiqamah untuk ‘bukan setakat Ramadan’. Sekian buat masa ini. Wallahualam.

2 comments

  1. Anonymous

Leave a Reply

...

...