Mengenang Isra' dan Mikraj: Tom n' Jerry, Susu dan Arak


posted by Pioneer of Legacy

4 comments

Assalamualaikum w.b.t....daripada Pioneer of Legacy

   Rasanya ini post saya yang pertama dalam blog ini. Dah lama sebenarnya saya berhasrat nak tulis sesuatu dalam blog ini, namun sikap malas sering menjadi penghalang. Oleh itu, jangan jadi seperti saya, muslim yang sejati tidak akan tunduk pada sikap malas. Alhamdulillah, Ramadan yang bakal menjelang telah 'mencas' tenaga iman untuk menjadi kurang malas, dan hasilnya tercetus penulisan saya yang tidak seberapa ini. Saya bukanlah seorang yang pakar namun ia bukan penghalang untuk berkongsi ilmu dan pendapat. InsyaAllah, saya yakin akan sumber-sumber yang saya gunakan dalam penulisan ini. Sebarang pendapat yang dilontarkan bersifat peribadi, dan tidak menggambarkan pendapat ahli-ahli Keluarga UBC yang lain. Saya harap ada 'feedback' daripada rakan-rakan pembaca untuk saya terus memperbaiki diri InsyaAllah...

Okay, cukup pengenalan ringkas itu, saya akan terus ke isu yang saya ingin kongsikan. Semalam ketika saya sedang menaiki koc baru KTM (terima kasih kepada semua pihak yang berusaha menyediakan penambahbaikan terhadap pengangkutan awam seperti ini, sejuk hati bila nampak perubahan seperti ini selepas hampir 10 bulan meninggalkan tanah air. Syabas!) saya sempat menonton beberapa episod cerita Tom n' Jerry menerusi monitor-monitor yang disediakan di dalam koc.

Terdetik satu persoalan yang tidak saya sedari semasa saya menonton cerita yang sama sebagai seorang anak kecil. Ramai orang menggelakkan 'kebodohan' Tom yang sering diperdaya oleh Jerry. Budak-budak kecil memuji kepintaran Jerry dan menyalahkan Tom atas 'kejahatannya' yang ingin memakan Jerry. Benar, sewaktu zaman kecil-kecil dahulu saya juga mempunyai pandangan yang sama. Namun, realiti dunia menyatakan suatu kejahatan yang tersembunyi dalam kisah ini. Ia adalah penentangan terhadap fitrah!



Tikus adalah makanan/mangsa kucing. Ini adalah satu bentuk fitrah alam. Malah ia boleh dikatakan undang-undang realiti kehidupan alam. Dalam istilah sainsnya, ia dipanggil rantai/jaringan makanan. Namun, bila situasi mecabar fitrah seperti ini ditonjolkan dalam media yang amat menarik minat anak-anak kecil seperti rancangan kartun ini, ia menjadi sesuatu yang amat bahaya. Kanak-kanak amat mudah terpengaruh dengan apa yang mereka saksikan, bahkan ramai antara mereka yang mengambil serius akan apa yang dilihat. 

Perkara ini amat halus dan licik. Ibu bapa kebiasaannya tidak membetulkan atau menerangkan keadaan realiti kepada anak-anak kerana beranggapan cerita tersebut sebagai kisah komedi yang tidak serius. Walhal hakikatnya, anak-anak mereka menyerap mesej-mesej dalam cerita tersebut. Malah, ada anak-anak yang cuba mencontohi 'pranking attitude' Jerry kerana menyangka ia sebagai perwatakan karekter yang pintar.

Di sini, sikap/idea yang kurang berakhlak sudah sedikit tertanam, memalapkan lubuk sanubari si bintang-bintang kecil kesayangan ibu bapa. Lihat berapa halusnya perkara ini! Memang, ada orang yang menganggap perkara ini seperti remeh dan agak 'over the top'. Cuma, cuba luangkan sedikit masa dan berfikir sejenak, adakah hikmah dalam apa yang saya utarakan.

Saya berhenti seketika daripada kisah Tom n' Jerry kerana mungkin ia tidak menarik bagi rakan-rakan pembaca yang lebih gemar cerita yang bernada Islamik. Saya ingin menyentuh satu peristiwa dalam Isra' dan Mikraj di mana Rasulullah SAW diberi pilihan minuman susu atau arak. Baginda SAW telah memilih susu, dan dalam penerangan ustaz-ustaz yang saya pernah jumpa, peristiwa ini menunjukkan kecenderungan seorang insan untuk memilih fitrah. Susu merupakan minuman yang terhasil secara semula jadi manakala arak pula terdapat banyak campurtangan manusia dalam penghasilannya. Sememangnya, ciptaan Allah secara semulajadi adalah yang terbaik dan paling hampir dengan fitrah manusia. Maka, tindakan baginda SAW memilih susu tersebut digambarkan dengan memilih fitrah.



Seorang ustaz yang saya hormati dalam satu majlis ilmu sempena Nisfu Syaaban mengkaitkan peristiwa dalam Rasulullah SAW memilih susu ini dengan keberkesanan syariat Allah dalam menepati/memenuhi keperluan manusia. Sesungguhnya, Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui akan apa yang tersirat dalam hati-hati hamba-Nya. Ustaz tersebut ada memetik satu senario yang pada saya cukup jelas menceritakan mengenai fitrah manusia dan syariat Allah.
Seorang bapa telah bertungkus-lumus bekerja untuk membesarkan seorang anak lelaki dan memberikannya pendidikan yang sebaik mungkin. Alhamdullilah, anak tersebut membesar sebagai sorang remaja yang baik, berakhlak dan pintar. Mendapat "straight A's" dalam SPM. Tiba-tiba, pada suatu hari, seorang Mat Rempit melanggar anak lelaki tadi atas kecuaian menunggang motosikal yang berulang, menyebabkan kematiannya. Menurut Seksyen 41 A.P.J. 1987 di mahkamah kerana memandu dengan melulu dan bahaya. Sabit kesalahan, boleh di penjara 10 tahun. Mat Rempit tadi dipenjarakan selama 10 tahun, makan minum ditanggung. Jika bapa mangsa tadi tidak puas hati, Mat Rempit tadi akan turut dikenakan kompaun yang akan diserahkan kepada pihak berkuasa. Fitrah mengatakan bapa tadi tidak akan berpuas hati dengan keadaan ini. Namun, inilah yang ditawarkan oleh undang-undang campurtangan manusia. Jika menurut undang-undang fitrah ciptaan Allah, bapa tadi boleh menuntut nyawa Mat Rempit tadi atas kebenaran hakim, atau dia boleh menuntut pampasan bernilai 100 ekor unta (anggaran RM500,000 jika seekor unta RM5,000) atau dia boleh memaafkannya. Cuba kita bandingkan, undang-undang manakah agaknya lebih dekat dengan fitrah manusia yang berakal. Undang-undang yang dibawa dari Barat yang menganggap manusia berasal daripada monyet ini menyangkal undang-undang fitrah sebagai ganas, 'barbaric' dan kuno. Namun, itu yang mereka anggap sebagai fitrah kejadian manusia yang mereka kelaskan sebangai haiwan yang berevolusi. Oleh itu, sebagai orang Islam yang mempercayai kejadian Adam as, mengapa ada antara kita yang menolak fitrah?

Kita kembali kepada cerita Tom n' Jerry tadi. Sentimen-sentimen melawan fitrah seperti ini banyak dipamerkan dalam pelbagai rancangan terutamanya kartun di televisyen. Kita sudah nampak hasilnya, penerimaan terhadap LGBT, tentangan terhadap cara penyembelihan Islam, halangan terhadap pemakaian tudung, isu feminism dan lain-lain. Perkara-perkara ini mula timbul pada abad ini sejak penggunaan media secara meluas. Jika kita kembali kepada akarnya, semua masalah ini berpunca daripada persoalan keadaan sebenar fitrah manusia yang bercanggah dari tuntutan Islam. Isu tudung dan feminism misalnya, adab 'modesty' golongan hawa merupakan suatu yang fitrah dan diiktiraf oleh seluruh dunia sehingga Edward Bernays (anak saudara Sigmund Freud) menggunakan ilmu psikologinya untuk memengaruhi penduduk wanita menjadi 'kurang wanita' selepas dunia mensinonimkan wanita=tertindas. 

Benar, penindasan terhadap wanita merupakan sesuatu yang salah, malah fitrah dunia menyatakan wanita sangat bernilai dan perlu dilindungi. Sayangnya, Edward Burnays mengambil kesempatan menanam persaingan jantina yang bercanggah dengan fitrah (bukan persaingan yang sihat) dengan meninggalkan sikap santun (modesty) dan menjadi semakin 'bold' sehingga terhasilnya keadaan haru-biru berbaur jahilliyah yang ada sekarang ini. Saranan saya, kita perlu kembali kepada fitrah, caranya ialah dengan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW. Dua sumber utama ini merupakan manual untuk kita kembali kepada fitrah, kepada keadaan penciptaan Adam sebagai sebaik-baik ciptaan. Wallahualam....

P/S. Sila komen dan perbetulkan di mana saya silap. Sekian, terima kasih.

4 comments

Leave a Reply

...

...